kenapa datang lambat?

Wednesday, July 16, 2008

Perkembangan Permainan tradisional gasing

Permainan gasing di Malaysia bukanlah perkara baru tetapi ia telah dimainkan sejak sebelum perang dunia lagi. Kini mula diminati kembali oleh pencinta seni warisan yang berusaha memperkenalkannya di kalangan masyarakat. Pada dasarnya pelbagai jenis permainan gasing boleh didapati di seluruh Malaysia. Gasing bukan sahaja dimainkan oleh orang dewasa, tetapi juga di kalangan remaja dan kanak-kanak. Kalau dahulu gasing hanya dimainkan di pertunjukan kebudayaan peringkat antarabangsa dan di sekolah-sekolah melalui program pengenalan. Permainan gasing di Malaysia pada dasarnya boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu gasing tradisional dan gasing sukan. Permainan gasing tradisional terdapat pelbagai jenis dan bntuk dan hanya dimainkan di sesuatu tempat tertentu oleh golongan tertentu sahaja. Peraturan dan cara mengendalikannya juga berlainan mengikut kampung, daerah dan ketua permainan.
Namun begitu kaedah asas permainan gasing adalah sama iaitu memusing, meangkahdan dan membela uri. Hanya yang membezakan ialah kaedah membela uri, melilit tali, peralatan tambahan dan bilangan pemain yang bermain. Inilah yang menimbulkan pelbagai bentuk dan sara permainan gasing. Umpamanya terdapat perbezaan dalam permainan gasing timah dan gasing leper di negeri Kelantan; gasing peyek dan gasing tempayan di Selangor serta gasing paku di Kedah.
Di Nusantara sendiri, gasing bolehlah dikaitkan dengan pengaruh penghijrahan, peperangan dan perdagangan terbuka sejarah lampau. Andaian ini berdasarkan bentuk-bentuk gasing yang berlainan mengikut negeri yang pernah dijajahi oleh kerajaan lain. Umpamanya gasing timah dan gasing leper Kelantan tidak terdapat di negeri lain. Begitu juga dengan gasing paku yang dimainkan oleh masyarakat Kuala Selangor, ternyata adalah sama dengan gasing yang dimainkan pemain gasing Kedah dan Patani. Gasing Riau mempunyai persamaan dengan gasing Melaka dan jika ditinjau di Riau sendiri, ramai yang memang berasal dari Melaka. Pengaruh ini jelas menunjukkan bahawa ada pertalian yang penting antara aliran pengaruh dan gaya permainan masyarakat tempatan dengan tempat lain.
Selain Malaysia, permainan gasing turut terdapat di negara-negara lain di Asia , Afrika serta Eropah. Cuma yang membezakannya adalah corak permainan, bentuk gasing, nama serta golongan yang memainkannya. Oleh itu, ternyatalah permainan gasing ini adalah sejenis permainan tua yang dimiliki oleh hampir semua tamadun.
Walaupun gasing ini merupakan permainan masyarakat serumpun Melayu, namun pelbagai masalah telah timbul akibat ketidakseragaman peraturan, bentuk gasing serta corak permainan gasing. Hasil kesedaran betapa pentingnya kesergaman dalam permainan gasing ini maka pihak yang bertanggungjawab telah mengambil tindakan yang bijak iaitu mengadakan Kongres Kebudayaan Melayu pada tahun 1972, di Universiti Malaya yang kemudiannya diikuti dengan Seminar Penyatuan Undang-Undang Gasing, di Sekolah Dato' Seri Amar DiRaja, Muar, Johor, pada tahun berikutnya. Tujuannya adalah untuk menyeragamkan permainan gasing.
informasi boleh didapati di lelaman http://www.ppak.kelantan.edu.my/culture/gasing/sejarahgasing.htm

0 comments: