kenapa datang lambat?

Wednesday, July 16, 2008

Permainan gasing Masa Kini

Kini permainan gasing tidak begitu mendapat tempat seperti permainan lain yang diperkenalkan oleh penjajah. Pemain dan peminat permainan gasing mula memikirkan cara untuk menyebarkan permainan ini secara meluas dan menyeluruh. Peristiwa ini bermula pada 16 April 1971 dalam Kongres Kebudayaan Malaysia Pertama yang diadakan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Antara kertas kerja yang dibentangkan ialah tentang pertukangan wau, gasing dan patung wayang kulit. yang dibentangkan oleh Tan Sri Datuk Haji Mubin Sheppard. Terlalu sedikit hal tentang gasing sebenarnya merupakan permainan yang terkenal di kalangan orang Melayu sejak zaman dahulu.
Ekoran kongres itu, beberapa orang peminat dan penyokong permainan ini dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (kini Kementerian Belia dan Sukan) telah berusaha menganjurkan Seminar Undang-Undang Permainan Gasing yang bertempat di Sekolah Dato' Seri Amar Diraja, Muar, Johor. Tujuan seminar ini ialah untuk menyatu dan mencari persamaan terhadap beberapa masalah permainan gasing. Pada peringkat awal perbincangan ini beberapa negeri telah membantah dan tidak menerima resolusi ini kerana mereka tidak mahu menukar bentuk dan peraturan gasing yang dihasilkan.
Sebagai langkah awal dalam melaksanakan amalan permainan bersama, satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan pada 23 September 1972 iaitu kira-kira lima bulan selepas seminar Penyatuan Undang-undang Gasing dibentuk di Muar. Mesyuarat pertama yang diadakan di Rumah Persinggahan Melaka akhirnya bersetuju untuk mencuba peraturan yang telah digubal. Langkah ini telah dilaksanakan pada 5 Ogos 1973 dalam pertandingangasing di negeri Melaka yang disertai oleh tiga buah negeri.
Kemudian dua mesyuarat penyelaras lagi telah dibentuk,iaitu di Wisma Belia, Kuala Lumpur pada 10 Februari 1974 dan di Bangunan Majlis Perbandaran Johor Bahru, Johor pada 10 Julai 1974. Cadangan menubuhkan Lembaga Pengadil Gasing telah dibuat dalam mesyuarat penyelaras kali ketiga pada 20 Mei 1975, di Wisma Belia. Majlis penubuhan Lembaga Pengadil Gasing telah berlangsung di Pejabat Daerah Kelang pada 20 Jun 1975. Bersamaan penubuhan ini juga telah diadakan diadakan perbincangan tentang penubuhan Persekutuan Gasing Malaysia. Pada 5 Disember 1977, Persekutuan Gasing Malaysia telah ditubuhkan dan didaftarkan di Melaka setelah melalui beberapa perbincangan.
http://www.ppak.kelantan.edu.my/culture/gasing/permainangasingmasakini.htm

0 comments: